
Habuan RM161,191 dimenangi oleh pasangan badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah apabila menjadi pasangan wanita pertama negara menjuarai Terbuka Thailand sejak ia diperkenalkan pada 1984.
Pasangan nombor empat dunia itu menewaskan gandingan Korea Selatan, Jeung Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17 dalam perlawanan akhir yang memakan masa 58 minit.
Kejayaan bersejarah itu menamatkan kemarau kejuaraan mereka sejak kali terakhir memenangi Terbuka Hong Kong September lalu.
Pasangan lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula melengkapkan kegembiraan skuad badminton negara apabila menjuarai acara beregu lelaki mengalahkan gandingan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam perlawanan sengit 20-22, 21-17, 21-12.
Selaku juara, pasangan negara itu membawa pulang hadiah wang tunai RM161,191.