Juara Dunia Mara ke Separuh Akhir

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei diberi tentangan sengit sebelum berjaya menempah tiket ke separuh akhir Masters China 2025 dengan menewaskan gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang juga juara dunia 2025 memulakan set pertama dengan nada positif apabila memenangi perlawanan dengan 21-12 namun rentak itu gagal dikekalkan pada set kedua.

Pada set kedua perlawanan yang berlangsung di Shenzhen Arena itu, Tang Jie-Ee Wei selaku pilihan ketiga kejohanan seakan hilang rentak dan ketinggalan jauh sebelum lawan yang menduduki ranking kelima dunia memastikan kemenangan 21-12.

Set penentuan menyaksikan Tang Jie-Ee Wei kembali mencari rentak diinginkan dan usaha itu tampak berjaya apabila mendahului lawan dengan jurang yang selesa.

Tang Jie-Ee Wei kemudian memuktamadkan kemenangan dengan 21-17 dalam aksi selama satu jam satu minit sekali gus melangkah ke separuh akhir.

Di separuh akhir nanti, Tang Jie-Ee Wei dijadual bertemu sama ada beregu ranking pertama dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping atau rakan senegara Yan Zhe-Dong Ping, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.