Juara Dunia ke Final, Aaron-Wooi Yik Kandas

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan prestasi mantap apabila menewaskan beregu nombor satu dunia dari China, sekaligus layak ke final Masters China 2025 hari ini.

Walaupun kalah 22-24 di set pertama kepada pasangan tuan rumah itu, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi separuh akhir yang sengit, pasangan negara bangkit di set kedua an set penentu.

Bertarung di Shenzhen Arena, pemain negara menyusun rentak permainan lebih bertenaga dan memanfaatkan kelemahan pihak lawan sebelum meraih kemenangan 21-19 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Di set penentuan, Tan Jie-Ee Wei menguasai permainan, menjarakkan kutipan mata apabila mendahului 11-7, 19-15 sebelum mengesahkan kemenangan 21-17 dalam aksi satu jam 20 minit.

Kejayaan itu sekali gus menghalang pasangan China itu melakar kemenangan kelima berturut-turut, selain menyaksikanTang Jie-Ee Wei menambah catatan kemenangan kepada tiga daripada sembilan pertemuan keseluruhan menentang Feng-Huang.

Kali terakhir mereka menewaskan pasangan pilihan tuan rumah itu ialah dalam saingan peringkat kumpulan D Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan beregu campuran negara itu akan menentang wakil Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara dalam final hari ini.

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan dua wakil negara beraksi di pentas final Masters China 2025 tidak kesampaian apabila beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Dalam perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik gagal menyaingi kelincahan dan corak permainan pantas lawan yang berada di ranking ketujuh dunia.

Walaupun rekod ke atas pasangan India itu ialah 11 kemenangan daripada 15 pertemuan, Aaron-Wooi Yik kecundang 17-21, 14-21 dalam masa 41 minit.