
KUALA LUMPUR: Gandingan beregu wanita nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning mengakui mereka dikerah habis-habisan oleh Pearly Tan-M Thinaah sebelum berjaya melakar gelaran dunia pertama mereka di Kejohanan Dunia di Paris, malam semalam.
Pasangan China itu meraih kemenangan selepas mengharungi pertarungan epik tiga set, 14-21, 22-20, 17-21 yang berlangsung selama 83 minit di Arena Adidas, sekali gus menamatkan impian Malaysia untuk meraih emas berganda pada sambutan Hari Merdeka.
Biarpun muncul juara, Sheng Shu menyifatkan pasangan negara yang menghuni ranking dua dunia itu beraksi dengan amat baik dan mempamerkan semangat juang luar biasa, terutamanya selepas tewas pada set pertama dan bangkit untuk memenangi set kedua.
Katanya, tentangan sengit yang diberikan Pearly-Thinaah membuatkan mereka tidak boleh berada dalam situasi lalai walaupun sedang mendahului kedudukan mata.
“Kedua-dua pasangan berjuang dengan sangat gigih dan mata sentiasa sengit. Jadi, walaupun kami mendahului, kami tidak boleh leka atau berputus asa.
“Kami tahu persembahan mereka (Pearly-Thinaah) sepanjang perlawanan sangat baik, jadi kami tidak boleh sesekali berasa selesa di fikiran dan menganggap kami pasti akan menang. Kami perlu terus fokus dan berjuang untuk setiap mata,” katanya.