Jojo Mahu Tebus Kekalahan

Foto Hiasan IG Johan Ghazali

KUALA LUMPUR: Bintang sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar bertekad menebus kekecewaan lalu apabila turun menentang petarung berpengalaman Maghribi, Zakaria El Jamari dalam aksi Muay Thai flyweight ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand pada Sabtu (9 pagi waktu Malaysia).

Johan yang tewas tipis menerusi keputusan split decision kepada Diego Paez dalam pertarungan ONE Fight Night 32 pada Jun lalu, menganggap kekalahan itu sekadar halangan kecil dalam perjalanan kariernya.

“Ia pertarungan yang sengit, malah banyak pengajaran yang saya peroleh. Kini saya lebih bersedia,” kata petarung yang mesra disapa Jojo itu.

Mengulas mengenai lawannya, Johan, 18, menegaskan bahawa Zakaria tetap berbahaya dengan gaya agresif dan mempunyai pukulan yang padu.

“Dalam ONE Championship semua lawan berbahaya. Dengan sarung tangan kecil, satu pukulan mampu ubah segalanya.

“Kami sudah siapkan pelan mantap dan saya yakin dengan persiapan kali ini,” ujar Johan.

Untuk rekod, Johan yang mewakili Rentap Muay Thai Gym kini mengumpul enam kemenangan daripada sembilan pertarungan di pentas ONE Championship.

Sementara itu, Zakaria, 27, yang menjalani latihan rapi di Super League Gym dengan sokongan legenda Muay Thai, Superlek Kiatmoo9 menegaskan beliau bersedia mengejutkan Johan.