Joehari Sah Letak Jawatan Presiden FAM

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah meninggalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila meletakkan jawatan sebagai presiden badan induk itu.

Peletakan jawatan yang dibuat Mohd Joehari itu hanya enam bulan selepas beliau diangkat sebagai Presiden FAM yang kelapan pada kongres pemilihan barisan kepimpinan baru, 15 Februari lalu.

Keputusan mengejut yang dibuat Mohd Joehari itu turut menyaksikan kerusi nombor satu FAM kini kosong dengan pemilihan presiden baru akan diadakan pada kongres tahun depan.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini memutuskan Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi diberikan tanggungjawab sebagai pemangku presiden sementara menunggu pemilihan presiden baru.

“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan Presiden kosong, Timbalan Presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga Kongres seterusnya iaitu tahun hadapan.

“Kongres itu hendaklah memilih presiden baru untuk baki tempoh penggal jawatan,” kata FAM dalam kenyataan, hari ini.