
BANGKOK: Perguruan selama setahun di Thailand berbaloi bagi atlet muay thai negara, Yan Jia Chi apabila menewaskan wakil tuan rumah yang juga juara dunia untuk meraih pingat emas acara wai kru di Sukan SEA Thailand, semalam.
Dalam pertarungan final di Stadium Lumpinee, Jia Chi atau lebih dikenali Angie menumbangkan juara dunia itu, Thongduang Thanawan.
Angie mempamerkan aksi yang berjaya memikat hati lima juri apabila meraih 9.33 mata berbanding Thanawan 9.20 mata, sekaligus bintang tuan rumah itu terpaksa berpuas hati dengan perak.
“Saya tidak balik ke Malaysia selama setahun, cuma dalam tempoh itu ada keluar menyertai kejohanan sebelum Sukan SEA kali ini.
“Jadi, saya anggap kejayaan ini sangat berbaloi untuk saya. Di final, yang membezakan saya dengan lawan mungkin kekuatan yang saya miliki.
“Persaingan sangat sengit kerana kami dari pusat latihan yang sama di Thailand,” katanya selepas tamat perlawanan.
Jelas Angie yang menuntut di Thailand National Sport University dalam jurusan rekreasi dan pelancongan itu, emas yang diperolehi hari ini bukan mudah, terutamanya dalam usahanya untuk pulih daripada kecederaan lutut sejak dua tahun lalu.