
JOHOR BAHRU: “Itulah bolaepak. Adakala kita cemerlang, ada waktu kita dikecewakan. Melbourne City bernasib baik menang”. Demikian luahan Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz apabila tewas 0-2 kepada kelab Australia, Melbourne City FC pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Rectangular Melbourne, semalam.
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan itu, Munoz berkata anak buahnya menguasai permainan di babak pertama dan kedua serta memiliki beberapa peluang menjaringkan gol tetapi gagal disudahkan.
“Itulah dalam permainan bola sepak ada ketika kami cemerlang dan ada ketika kami dikecewakan dan hari ini (semalam) Melbourne City bernasib baik meraih kemenangan.
“Ini kali pertama kami ketinggalan selepas pemain kami bermula agak perlahan dan tidak dapat mengawal `set-piece’ yang dilakukan pasukan lawan,” katanya.