
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Sabah FC 5-0 untuk mencipta sejarah sebagai pasukan pertama merangkul trofi Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
Dengan kejayaan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Selatan berkongsi gelaran pemenang terbanyak Piala FA dengan lima gelaran bersama Selangor FC (SFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Ini turut menjadi trofi kedua buat JDT pada musim ini selepas mereka merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah hasil kemenangan 3-0 ke atas SFC, Ogos lalu.
Pada aksi terbabit, JDT sudahpun di depan 1-0 ketika perlawanan baru bermula tujuh minit apabila penjaga gol Sabah FC, Damien Lim tertewas dengan tandukan Jonathan Silva berpunca daripada sepakan percuma Oscar Arribas.
JDT menggandakan kelebihan mereka dengan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit selepas Rawilson Batuil tertampan hantaran Nacho Mendez ke dalam gawang sendiri pada minit ke-19 disusuli jaringan Jairo da Silva menerusi tandukan terbang pada minit ke-22 untuk kedudukan 3-0.
Sabah FC menyangka mereka berjaya mengurangkan defisit dengan gol Adjin Mugajic pada minit ke-25 namun sayangnya ia dibatalkan selepas pengadil, Mohamad Kamil Zakaria Ismail menilai semula gol itu dengan monitor Video Bantuan Pengadil (VAR).
Hasrat Sabah FC untuk bangkit pada babak kedua tambah berliku apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-49 selepas Miguel Cifuentes dilayangkan kad kuning kedua.
Kelebihan tiga gol menyaksikan JDT mula memperlahankan tempo permainan dan lebih banyak menyerap asakan Sabah FC yang datang untuk mencari gol pertama mereka.
JDT terus ‘berpesta’ dengan jaringan keempat, kali ini menerusi penyudah kemas Arribas menewaskan Damien Lim buat kali keempat pada minit ke-63.
Juara bertahan itu melebarkan jurang dengan gol kelima oleh Manuel Hidalgo yang menewaskan penjaga gol gantian, Khairul Fahmi Che Mat untuk melengkapkan kemenangan bergaya JDT.