
KUALA LUMPUR: Meskipun semua Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan jawatan, Rabu lalu, kedudukan Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terjejas.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan jawatan Presiden Kehormat tidak tertakluk kepada proses pemilihan kongres, sebaliknya dilantik menerusi mesyuarat EXCO.
Beliau memaklumkan jawatan berkenaan bukan jawatan yang dipertandingkan seperti Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden dalam pemilihan FAM.
“Kedudukan Presiden Kehormat tidak tergugat kerana ia bukan jawatan yang dipilih melalui kongres. Presiden Kehormat dilantik dalam mesyuarat Exco sahaja.
“Ia sama seperti jawatan Bendahari Agung yang juga tidak dipertandingkan, sebaliknya dilantik menerusi mesyuarat Exco. Jadi, kedua-dua jawatan itu tidak terjejas.
“Presiden Kehormat tidak mempunyai kuasa, termasuk dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pengurusan atau hal ehwal FAM,” katanya.
Hamidin yang pernah memikul tugas selaku Presiden FAM dari 2018 hingga 2025 dilantik sebagai Presiden Kehormat badan induk itu pada Kongres Luar Biasa, 30 Jun lalu.
Artikel 22 Statut FAM memperuntukkan bahawa Kongres FAM boleh menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada mana-mana individu yang memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bolasepak.