Isu Terbuka India tidak berulang di Kejohanan Dunia: BWF

Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Masalah sepanjang penganjuran Terbuka India 2026 sudah dikenal pasti dan akan ditangani bagi memastikan kelancaran penganjuran Kejohanan Dunia di venue sama, Ogos depan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi jaminan pihaknya sudah berinteraksi dengan pemain serta pasukan yang bertanding untuk menilai keadaan venue.

BWF juga mengakui cabaran sepanjang kejohanan berpunca daripada faktor bermusim seperti jerebu dan cuaca sejuk yang menjejaskan kualiti udara serta suhu di dalam stadium.

“Penilaian kami mengesahkan Kompleks Sukan Indira Gandhi adalah satu peningkatan ketara berbanding Stadium Tertutup KD Jadhav, khususnya dari segi infrastruktur.

“Maklum balas yang diterima sama ada positif mahupun membina amat penting dalam usaha menyediakan persekitaran terbaik menjelang Kejohanan Dunia,” menurut kenyataan BWF.