Isu FAM: FIFA Belum Putuskan Penghakiman Penuh

Foto FAM / SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) belum memutuskan penghakiman berhubung hukuman yang dikenakan ke atas badan induk itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata setakat ini belum ada perkembangan baru berhubung isu keputusan penggantungan oleh badan bolasepak dunia itu.

“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima.

“Sehubungan itu, FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkembangan lanjut sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya,” katanya.

FAM dan tujuh pemain kebangsaan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain pula didenda CHF2,000 (RM10,560) serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan.