
Pearly Tan-M Thinaah mahu mencipta sejarah muncul beregu wanita pertama Malaysia menjuarai badminton Terbuka Jepun tetapi kempunan musnah apabila mereka sekali lagi dikecewakan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pentas final.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Pearly-Thinaah yang juga beregu ranking ketiga dunia gagal menyaingi kehebatan lawan mereka apabila tewas 15-21, 14-21 dalam tempoh 45 minit.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah masih buntu mencari jalan menundukkan gandingan handal China berkenaan selepas turut tewas dalam empat pertemuan terakhir sebelum ini, termasuk di final Terbuka Indonesia bulan lalu.
Secara keseluruhan Pearly-Thinaah hanya menang tiga daripada 12 pertemuan dengan Sheng Shu-Tan Ning.