
SEPANG: Hakim Danish Ramli, pelumba muda negara, memperoleh motivasi baru menjelang perlumbaan di Grand Prix (GP) Malaysia esok apabila disahkan menyertai pasukan MSI Racing Team bagi musim depan.
Berita Hakim Danish disambar MSI Raccing Team itu dimaklumkan pasukan menerusi satu hantaran di akaun sosial mereka sebentar tadi.
“Sudah tentu berita ini membuatkan saya sangat gembira dan memberi motivasi tambahan untuk hujung minggu ini. Saya amat teruja menyertai Moto3 2026 bersama MSI. Impian saya akhirnya menjadi kenyataan dan saya akan memberikan 100 peratus tahun depan,” kata Hakim Danish yang beraksi dalam kelas Moto3 menerusi tiket wildcard di Sepang.
Pelumba berusia 18 tahun itu juga merakamkan penghargaan kepada pasukan serta individu dan penaja yang banyak membantunya sepanjang perjalanan kariernya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MSI, Jordi dan Oscar, penaja saya, SIC Racing, ZK Racing, KBS, Terengganu Inc serta semua peminat yang sentiasa mempercayai karier saya. Terima kasih banyak,” katanya.