Imbuhan RM79,333 buat Abdul Latif

Foto Bernama

SEPANG: Datuk Abdul Latiff Romly, pemenang pingat emas yang memecahkan rekod dunia di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 New Dehi 2025 menerima jumlah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) tertinggi bernilai RM79,333.

Imbuhan itu merangkumi RM69,333 bagi kemenangan pingat emas dan tambahan RM10,000 untuk pencapaian rekod dunia baru yang juga milik atlet berusia 28 tahun itu, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

“Untuk kejohanan dunia yang berlangsung setiap dua tahun ini, pencapaian satu emas, dua gangsa dan satu rekod dunia menyaksikan MSN membayar jumlah keseluruhan SHAKAM sebanyak RM103,333 kepada pemenang-pemenang.

“Datuk Abdul Latif menerima RM79,333, RM69,333 bagi pingat emas dan tambahan RM10,000 untuk rekod dunia baru. Muhammad Ziyad Zolkefli pula menerima RM8,000 bagi gangsa acara lontar peluru F20 dan Muhammad Nazmi Nasri, gangsa lompat jauh T37 dengan ganjaran RM16,000,” katanya hari ini.

Latif, yang juga pemenang pingat emas dua kali Sukan Paralimpik, melakukan lompatan sejauh 7.67 meter (m) pada percubaan ketiga untuk menewaskan pesaing lain sekali gus memadam rekod 7.64m yang dicatatkannya pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.