IIC Gagal Kesan Tangan Misteri Palsu Dokumen

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) tidak dapat menentukan secara muktamad siapa memalsukan dokumen-dokumen tujuh pemain warisan yang dipertikaikan.

Menurut badan yang ditugaskan oleh Persatuan Boasepak Malaysia (FAM) itu, ia disebabkan Notari Awam yang membuat pengesahan tidak memberikan kerjasama dan ejen bagi tujuh pemain terbabit tidak dapat dikesan.

Kenyataan itu menyebut, walaupun usaha yang munasabah sudah dilakukan IIC tidak dapat mengesahkan individu yang bertanggungjawab dalam kes pemalsuan dokumen itu.

Dalam rumusan siasatan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, IIC menyimpulkan berlaku kelemahan dalam sistem pentadbiran FAM hingga menyebabkan isu berkenaan berlaku.
.
Laporan siasatan IIC setebal 59 muka surat itu turut mencadangkan FAM segera membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan penuh dan sewajarnya serta mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

“IIC tidak dapat menentukan secara muktamad siapa memalsukan dokumen-dokumen yang dipertikaikan. Ia disebabkan oleh Notari Awam yang membuat pengesahan tidak memberikan kerjasama dan ejen bagi tujuh pemain terbabit tidak dapat dikesan walaupun usaha yang munasabah sudah dilakukan.

“Apa yang jelas adalah kegagalan serius daripada segi pengawasan, usaha wajar dan kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM yang membolehkan insiden ini berlaku tanpa pengesanan atau campur tangan.

“FAM dinasihatkan supaya segera membuat laporan polis, mengambil tindakan tatatertib dalaman yang sewajarnya di mana berlaku kegagalan pemantauan serta melaksanakan pembaharuan struktur seperti yang disyorkan oleh IIC.

“Tindakan ini penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang serta memulihkan kredibiliti dan integriti operasi FAM,” menurut laporan IIC.