Hilang Fokus Punca Pearly-Thinaah Tewas

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui kesilapan mudah dan hilang fokus menjadi punca utama mereka tewas di tangan gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada aksi separuh akhir Terbuka Hong Kong.

Pasangan nombor dua dunia itu gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu apabila tewas 14-21, 11-21 dalam tempoh 35 minit di Hong Kong Coliseum.

Keputusan itu menyaksikan rekod kekalahan mereka berlanjutan kepada lima pertemuan berturut-turut menentang lawan sama.

Pearly-Thinaah hanya menang sekali ke atas Yi Fan-Shu Xian iaitu ketika di Terbuka India, Januari lalu.

Lebih mengecewakan, ia menjadi kali ketiga musim ini Pearly-Thinaah disekat Yi Fan-Shu Xian di pentas separuh akhir selepas Masters Malaysia dan Terbuka China.

Pearly mengakui mereka terlalu terburu-buru ketika berada di depan sehingga hilang fokus dan melakukan banyak kesilapan mudah.

“Dari segi mental, kami terlalu tergesa-gesa bila sedang mendahului. Kami lupa kepada corak permainan sendiri, mula ikut rentak lawan dan lakukan kesilapan mudah. Itu yang jadi punca kekalahan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Thinaah berkata kelemahan mereka dalam bertahan membuka ruang kepada serangan agresif lawan.

“Susunan pukulan mereka buatkan kami sukar ikut rentak. Kami terlalu banyak bertahan dan ketika itu serangan mereka lebih menekan,” jelasnya.