
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan analisis video perlawanan menjadi senjata utama skuad negara dalam usaha mencari kelebihan tipis di pentas dunia yang kian sengit.
Tiga gandingan utama iaitu Aaron Chia–Soh Wooi Yik, Man Wei Chong–Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini, selain disertai gandingan profesional Nur Izzuddin Rumsani–Goh Sze Fei.
Herry yang digelar jurulatih Naga Api, berkata fokus latihan sejak beberapa minggu lalu tertumpu kepada menganalisis kekuatan dan kelemahan lawan sambil memperkemaskan permainan sendiri.
“Saingan beregu lelaki kini sangat rapat, beza pun kecil. Siapa yang lebih bersedia dan mampu memanfaatkan peluang di hari perlawanan, dia yang akan menang.
“Itulah pentingnya analisis video,” katanya.