
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menyifatkan prestasi Aaron-Wooi Yik di Terbuka Malaysia konsisten dan antara yang terbaik.
Beliau berkata, persembahan juara dunia 2022 itu di Axiata Arena hampir menyamai prestasi ketika muncul juara Kejohanan Asia di Ningbo, China pada April tahun lalu.
“Saya rasa permainan mereka konsisten. Bagi saya, ini antara persembahan terbaik mereka selain ketika menjuarai Kejohanan Asia. Di Terbuka Malaysia kali ini, prestasi mereka hampir mencapai tahap itu dan mendekati penampilan sebenar seperti dahulu.
“Namun, kali ini mereka belum cukup tuah untuk meraih gelaran juara di laman sendiri,” katanya mengulas prestasi pasangan ranking kedua dunia itu dalam kejohanan berstatus Super 1000 berkenaan.
Pada aksi final semalam, Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho- Seo Seung Jae.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia masih belum berjaya menamatkan penantian untuk melihat wakil negara menjulang kejuaraan Terbuka Malaysia sejak kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Seri Lee Chong Wei pada edisi 2018.