
KUALA LUMPUR: IMPIAN skuad hoki lelaki negara untuk mengesahkan tiket ke pentas final Super Four Piala Asia 2025 terhenti seketika selepas kecundang 1-4 kepada India dalam perlawanan di Stadium Hoki Rajgir, pada Khamis.
Anak buah Sarjit Singh bermula cemerlang dengan jaringan pantas Muhammad Shafiq Hassan pada minit kedua yang seakan memberi bayangan rentak kemenangan kedua berturut-turut bakal tercipta.
Namun, sorakan kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila India segera menggegarkan permainan dengan serangan bertali arus.
Manpreet Singh menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17 sebelum dua jaringan pantas oleh Sukhjeet Singh (m-19) dan Shilanand Lakra (m-24) menutup babak pertama 3-1, mematahkan rentak Malaysia.
Separuh masa kedua terus milik tuan rumah apabila Vivek Sagar Prasad menambah gol keempat pada minit ke-38, sekali gus menenggelamkan sisa-sisa kebangkitan anak buah Sarjit
Kekalahan itu menyaksikan India melonjak ke puncak kumpulan Super Four dengan empat mata, meninggalkan China kedua diikuti Malaysia masing-masing dengan tiga mata, sementara Korea Selatan hanya mengutip satu mata.
Dalam satu lagi aksi, China menyalakan kembali peluang ke final selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Korea Selatan.
Malaysia selepas ini akan berdepan Korea Selatan pada Sabtu ini dalam aksi hidup mati yang bakal menentukan sama ada Speedy Tigers mara ke pentas final atau sebaliknya.