Harimau Muda Tewaskan Laos 4-1

Foto FA Malaysia

KUALA LUMPUR: Ketinggalan 0-1, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara membuka kempen Sukan SEA 2025 bangkit untu membelasah Laos 4-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Rajamangala, semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Nafuzi Zain mengutip tiga mata pertama sekaligus menghantar amaran kepada Vietnam menjelang aksi terakhir peringkat kumpulan di venue sama, Khamis ini.

Skuad negara bermula positif apabila gerakan pada minit kedua hampir membuahkan gol namun gawang Laos terselamat apabila percubaan Muhammad Haykal Danish Mohd Haizon tertampan Danish Hakimi Sahaludin di depan gol.

Permulaan positif itu tidak bertahan lama apabila Laos membuka jaringan pada minit keempat selepas Bounphaeng Xaysombath menyudahkan hantaran lintang Phoutthavong Sangvillay dari dalam kotak penalti untuk kedudukan 1-0.

Gol penyamaan negara hadir pada minit ke-33 selepas hantaran Danish Hakimi gagal ditampan pertahanan Laos dan disudahkan Haykal untuk aksi kembali seimbang.

Malaysia lebih menguasai awal permainan di babak kedua dan akhirnya mendahului permainan apabila tangkapan kurang kemas Kop Lokphathip ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang daripada sebelah kanan sayap Malaysia dimanfaatkan Haqimi Azim Rosli untuk gol kedua negara pada minit ke-58.

Momentum permainan beralih kepada skuad negara dan tiga minit berselang, Malaysia mendapat gol ketiga hasil tandukan Moses Raj untuk skuad negara berkelebihan dua gol.

Skuad negara menambah gol keempat menerusi jaringan ‘chip’ Muhammad Abu Khalil pada minit ke-90 untuk menutup aksi lima bintang skuad negara.