
KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara memenangi perlawanan keempat, kali ini menundukkan Singapura 2-1 di pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Hanoi.
Skuad bimbingan Javier Jorda Ribera sebelum ini menewaskan Kepulauan Mariana Utara (13-0), Hong Kong (1-0) dan Macau (5-0) untuk mengumpul 12 mata maksimum.
Bagaimanapun, rekod tanpa bolos yang dicipta skuad negara dalam tiga perlawanan terdahulu akhirnya lebur di Padang 3 Vietnam YFTC.
Pada aksi berkenaan, Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelima apabila hantaran lintang kapten Arayyan Hakeem Norizam disudahkan Iman Danish Shukor menggunakan tumit bagi mendahului 1-0.
Bagaimanapun, Singapura bertahan dengan baik untuk menafikan peluang Malaysia menambah gol, memaksa skuad negara menunggu hingga hujung babak pertama untuk menggandakan kelebihan.
Gandingan Iman-Arayyan terus mengucar-ngacirkan pertahanan Singapura apabila kali ini, Iman menjadi pengumpan dengan hantaran lintang dari sebelah kanan ditanduk masuk oleh Arayyan bagi gol kedua pada minit ke-44.
Gawang Malaysia akhirnya bolos buat kali pertama pada kempen kelayakan kali ini selepas Singapura mengurangkan defisit menerusi Aaryan Hermi pada minit ke-75.
Malaysia akan menentang tuan rumah, Vietnam di Stadium PVF, Ahad ini dalam aksi penentu juara Kumpulan C sekali gus tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-17 di Arab Saudi pada Mei depan.