
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya muda bawah 17 tahun membelasah Kepulauan Marina Utara 13-0 dalam perlawanan pembuka tirai Kelayakan Piala Asia B-17 2026.
Kemenangan besar itu menjadi penawar kepada kekalahan 0-11 di tangan skuad B-16 Croatia dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
Skuad kendalian Javier Jorda Ribera itu jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menguasai perlawanan seawal wisel permulaan dibunyikan.
Penyerang muda, Iman Danish, menjadi tumpuan selepas membuat hatrik pantas dalam tempoh hanya 15 minit untuk meletakkan skuad negara selesa di hadapan.
Rentak itu diteruskan rakan sepasukan apabila Nabil Ikhwan, Iman Irfan, Arfan Haziq dan Arayyam Hakeem masing-masing menyumbang gol bagi memastikan Malaysia menutup babak pertama dengan kelebihan 7-0.
Di babak kedua, Malaysia terus garang apabila kembali menekan lawan yang tampak tidak mampu menyaingi keupayaan fizikal dan taktikal skuad muda negara.
Nurikhwan Hazeem dan Fahim Akmal turut mencetak nama sebagai penjaring sebelum Alif Ashraf menambah derita lawan dengan jaringan ke-12 negara.
Kepulauan Mariana Utara semakin hilang fokus apabila menjaringkan gol sendiri bagi melengkapkan kemenangan 13-0 pasukan negara.
Malaysia akan berdepan Hong Kong selepas ini, manakala Kepulauan Mariana Utara dijadual bertemu tuan rumah, Vietnam pada 24 November bagi meneruskan saingan kelayakan.