
Pasukan Harimau Malaya sepatutnya membuat keputusan menarik diri dari kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 dari awal bagi mengelak implikasi lebih besar.
Penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pihak pengurusan skuad Harimau Malaya sudah mengetahui mengenai kejohanan itu lebih awal termasuk terdapat perlawanan berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pekan tidak menolak kemungkinan pengurusan skuad negara tersilap percaturan yang mana skuad kendalian Peter Cklamovski mungkin berdepan kesukaran untuk menghimpun skuad lengkap terutama dalam mendapatkan khidmat pemain warisan yang beraksi di luar negara bagi perlawanan awal.
Beliau berkata, seandainya tidak dapat membawa skuad terkuat, Harimau Malaya mungkin sukar meraih keputusan positif dan situasi itu boleh menjejaskan kedudukan ranking pasukan negara yang kini berada di tangga 125 dunia.