
KUALA LUMPUR: Bermain tanpa tujuh pemain warisan baru yang digantung, Harimau Malaya tetap garang membenam Laos 3-0 pada kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium National Vientiane malam tadi.
Ketiadaan Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Imanol Machuca, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces dan Jon Irazabal menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski terpaksa melakukan rombakan besar dalam skuad utama.
Tujuh pemain itu dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Selain ketiadaan tujuh pemain itu, keadaan permukaan padang di Stadium Nasional, Vientiane yang kurang baik menjejaskan persembahan skuad negara yang dilihat bergelut untuk melakukan gerakan dan percubaan lebih berkesan di depan gol.
Sepanjang permainan, Harimau Malaya yang lebih menguasai permainan gagal embolosi gawang Laos pada babak pertama banyak peluang diperolehi.
Arif Aiman Hanapi menjaringkan gol pertama apabila rembatan leretnya pada minit ke-54 menewaskan penjaga gol Laos, Kop Lokphathip.
Jaringan itu jelas menyuntik semangat barisan pemain negara yang terus melakukan asakan ke kubu lawan dan hasilnya mereka berjaya meraih jaringan kedua menerusi kapten, Dion Cools pada minit ke-68.
Faisal Halim yang turun sebagai pemain simpanan menjaringkan gol ketiga Harimau Malaya.