
ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berbangga dengan kejayaan menumpaskan Palestin 1-0 pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam semalam.
Jurulatih dari Australia itu berkata, barisan pemain menunjukkan disiplin, mentaliti kental serta komitmen jitu biarpun berdepan jadual singkat sepanjang perlawanan antarabangsa itu.
“Separuh masa pertama sangat baik … . Dalam 20 minit terakhir, pemain mampu bertahan. Saya berbangga kerana menang tanpa bolos. Saya yakin dengan semua pemain Malaysia.
“Kami menewaskan Palestin, satu pasukan yang baik, layak ke Piala Asia dan berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Kredit kepada semua pemain,” katanya.
Beliau berkata, Harimau Malaya menumpukan kepada kekuatan berpasukan dan bukannya individu, dua kemenangan berturut-turut menentang Singapura dan Palestin suatu yang positif.
“Gol cantik pada peringkat awal permainan hasil daripada latihan dan perancangan yang disusun. Ia perlawanan yang kami jangkakan. Pujian wajar diberikan kepada pemain dan saya gembira dengan mereka semua,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan Harimau Malaya kini beralih kepada persiapan kelayakan Piala Asia AFC dan pemain perlu konsisten menjelang Oktober.
Gol tunggal pada perlawanan itu dijaringkan oleh penyerang Joao Figueiredo seawal minit ketiga, selepas memanfaatkan hantaran lintang Quentin Cheng dari sebelah kanan padang.