
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya tunduk 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sebentar tadi.
Sebelum ini, Harimau Malaya merekodkan pencapaian cemerlang tanpa kalah dalam lapan perlawanan.
Sebelum ini, Harimau Malaya diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi tiga aksi persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin serta dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam dan Nepal oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Namun ia bukan kekalahan atas padang, sebaliknya hukuman daripada FIFA dan AFC susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero.
Pada aksi menentang Vietnam, pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Do Duy Manh meledak gol pembukaan seawal minit keenam selepas menanduk masuk bola yang berpunca daripada sepakan sudut Truong Tien Anh.
Harimau Malaya mendapat beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan selepas itu termasuk menerusi Faisal Halim pada minit ke-11, namun sepakan lambung kapten Selangor itu sedikit tersasar.
Dua minit berselang, giliran pemain tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin pula mendapat peluang tetapi rembatan leretnya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip.
Vietnam menambah dua gol pada minit ke-51 dan 59 dengan kedua-duanya menerusi tandukan pemain naturalisasi skuad Golden Star Warriors, Nguyen Xuan Son.
Endrick Dos Santos menyumbang gol pertama Harimau Malaya selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77, namun ia belum cukup untuk menghalang Vietnam daripada meraih kemenangan.
Vietnam mengumpul 18 mata maksimum daripada enam perlawanan dalam kempen kelayakan dengan mereka sebenarnya sudah sah ke pusingan akhir selaku juara Kumpulan F sejak AFC mengenakan hukuman ke atas Harimau Malaya sebelum ini.