
KUALA LUMPUR: Keputusan letak jawatan beramai-ramai itu mungkin keputusan terbaik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jika ia bukan sekadar sandiwara untuk meredakan tekanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Penganalisis bolasepak, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat, ia mesti dibuat secara sukarela dan berasaskan tanggungjawab kolektif dan bukan sekadar ‘langkah kosmetik’ untuk mengelak hukuman bakal dikenakan.
Kebimbangan utama adalah jika peletakan jawatan ini hanya sekadar formaliti sebelum ‘muka sama’ kembali bertanding dan dipilih semula pada kongres pemilihan akan datang.
“Kita faham bukan semua orang bersalah. Tetapi kegagalan dalam sesuatu organisasi itu perlu dipikul bersama. Itulah makna kepemimpinan yang berjiwa besar.
“Tetapi kalau mereka meletak jawatan tetapi bertanding semula dan menang, ini adalah satu sandiwara. Tidak mustahil perkara seperti ini boleh terjadi nanti.
“Janganlah memperbodohkan penyokong bolasepak tempatan kalau ini yang berlaku nanti. Jadi macam lagu Wal Hasil Balik Asal sahaja.
“Kita pun takut kalau sandiwara ini nanti mendapat perhatian daripada FIFA dan AFC pula. Kita harus ingat kalau mereka mahu jatuhkan hukuman, hukuman tetap akan datang,” kata Pekan.
Pekan juga menggesa ahli gabungan supaya lebih berani dan memilih calon yang berintegriti sekiranya pemilihan besar-besaran terpaksa dilakukan pada kongres yang dijadual berlangsung bulan depan.