
KUALA LUMPUR: Lagi Negaraku berkumandng i Buriram, Thailand apabila Hafizh Syahrin Abdullah mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menjuarai Perlumbaan 1 kelas elit ASB1000 pada Pusingan 6 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), semalam.
Kemenangan itu turut membolehkan bekas pelumba MotoGP negara itu merampas kedudukan pendahulu keseluruhan kejuaraan daripada pencabar terdekat, yang juga jaguh tuan rumah, Nakarin Atiraphuvapat.
Memulakan perlumbaan dari petak kelima, Hafizh terpaksa mengerahkan segala kudrat untuk menyaingi kelompok depan yang dibarisi pelumba tuan rumah, Nakarin (Honda Racing Thailand), pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Astra Honda Racing) dan pelumba Jepun, Keito Abe (SDG HARC-Pro Honda Philippines).
Begitupun, keberanian Hafizh melakukan pintasan drastik pada pusingan terakhir membolehkannya menyambar kedudukan pertama, meninggalkan Andi dan Keito yang terpaksa berpuas hati melengkapkan podium di tempat kedua dan ketiga.