Guilherme hantar JDT ke pusingan 16 terbaik ACLE

Foto JOHORSouthernTigers

ISKANDAR PUTERI: Menang tipis ke atas Vissel Kobe 1-0 tetapi itu sudah cukup untuk Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan slot ke pusingan 16 terbaik dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Xisco Munoz memastikan mengutip 11 mata untuk melonjak ke tangga keenam sekaligus menolak FC Seoul di tangga ketujuh yang mengumpul 10 mata dan Gangwon FC di tangga kelapan dengan lapan mata dalam kumpulan Zon Timur.

Seawal minit ketiga, JDT menggugat benteng pertahanan skuad kendalian Michaei Skibbe apabila Bergson da Silva yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama melakukan rembatan deras dari luar kotak.

Namun bola yang tepat ke gawang gol tangkas ditampan penjaga gol pelawat, Shuici Gonda.

Memasuki minit ke-13 Gonda menjadi penyelamat buat Vissel Kobe daripada dilbolosi selepas sempat merebahkan badan untuk menepis bola keluar bola sepakan Marcos Guilherme hasil kuisan bola ke belakang oleh Bergson yang memperdaya Boniface Nouka.

Anak buah Skibbe turut berpeluang merobek gawang JDT dalam dua situasi pada minit ke-20 dan disusuli minit ke-22 apabila Jean Patric bertindak merembat bola namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Andoni Zubiaurre menjadi penyelamat buat Harimau Selatan bagi mengelak gawang dibolosi.

Walaupun berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-38 hasil rembatan kencang Raul Filipe namun gol itu dibatalkan selepas pengadlil perlawanan, Ilgiz Tantashev dari Uzbekistan yang mendapat bantuan dari rakan setugas di bilik video bantuan pengadil (VAR) mengesan kedudukan Hector Hevel yang ofsaid ketika melakukan umpanan.

JDT berjaya memecah kebuntuan jarignan pada minit ke-77 selepas pemain gantian Jairo da Silva yang bertindak merampas bola daripada pemain lawan mengumpan bola kepada Guilherme yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan Gonda menceriakan lebih 30,000 penyokong Harimau Selatan.