Gelaran pertama Super 300 Aaron-Khai Xing

Foto BA Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasangan Aaron Tai-Kang Khai Xing menundukkan rakan senegara di ranking ke-45 dunia, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao untuk menjuarai Kejohanan Antarabangsa Badminton Syed Modi India hari ini.

Beregu di ranking ke-57 dunia itu hanya memerlukan 32 minit untuk menang 21-9, 21-19 di Lucknow sekaligus menghadiahkan gelaran sulung mereka dalam kejohanan bertaraf Super 300.

Pada set pertama, Aaron-Khai Xing langsung tidak memberi ruang apabila mempamerkan corak permainan pantas untuk menamatkan aksi dengan kemenangan 21-9 dalam tempoh 11 minit.

Set kedua turut menyaksikan pasangan pilihan keenam kejohanan itu terus mendominasi permainan namun kali ini Wei Jie-Sheng Hao bangkit memberi tentangan lebih sengit.

Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak bertahan lama apabila Aaron-Khai Xing kembali memperkemas rentak sebelum mencatat kemenangan 21-19.

Kejayaan itu juga kemenangan kedua berturut-turut Aaron-Khai Xing ke atas pasangan sama selepas menumpaskan mereka pada final Super 100 Malaysia bulan lalu.

Dengan kemenangan itu, Aaron-Khai Xing membawa pulang hadiah wang tunai AS$18,960 (RM78,352) manakala Wei Jie-Sheng Hao berpuas hati sebagai naib juara dengan AS$9,120 (RM37,688).sunday