
BELO HORIZONTE: Gaduh besar ketika Cruzeiro EC menang 1-0 ke atas seteru mereka Atletico Mineiro dalam final Campeonato Mineiro berakhir dengan 23 pemain dilayangkan kad merah.
Menurut laporan akhbar Brazil, O Globo, ia adalah bilangan kad merah tertinggi pernah dikeluarkan dalam satu perlawanan bolasepak di Brazil.
Ia memecahkan rekod lama yang berlaku pada tahun 1954 di antara Portuguesa dan Botafogo apabila 22 pemain diarah keluar padang.
Insiden tercetus pada minit akhir permainan apabila penjaga gol Atletico Mineiro, Everson, menolak pemain tengah Cruzeiro, Christian, selepas kedua-duanya bertembung ketika mengejar bola longgar.
Rakan sepasukan Christian segera menghampiri Everson sebelum situasi bertukar menjadi pergaduhan besar yang membabitkan pemain daripada kedua-dua pasukan.