
KUALA LUMPUR: Juara dunia beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal menerima ganjaran lumayan, setanding apa yang pernah dinikmati beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 2022.
Tiga tahun lalu, Aaron-Wooi Yik yang mencipta sejarah sebagai wakil pertama Malaysia muncul juara dunia, menerima insentif keseluruhan lebih RM500,000, termasuk RM300,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), RM100,000 daripada penaja 100PLUS dan RM100,000 daripada Yonex.
Mereka turut diberi insentif RM20,000 seorang melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kini, dengan kejayaan Tang Jie-Ee Wei merangkul pingat emas di Kejohanan Dunia 2025 yang menjadi gelaran beregu campuran pertama buat Malaysia, tidak mustahil mereka akan menerima pakej ganjaran menyerlahkan nilai yang sama atau bahkan lebih menarik.