
BANGKOK: Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Shahnaz Azmi
mengumumkan ganjaran tunai peribadi sebanyak RM5,000 kepada setiap pemenang pingat emas sukan itu yang akan dikreditkan terus ke akaun mereka.
Beliau berkata, ia sebagai mengiktiraf kejayaan luar biasa skuad muay thai negara merangkul tiga pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025.
Menurutnya, kejayaan itu satu pencapaian luar biasa, apatah lagi ia melebihi sasaran awal satu emas yang ditetapkan.
Beliau mengakui bangga dengan prestasi atlet muda negara yang berjaya memecahkan dominasi tuan rumah, biarpun tanpa kehadiran bintang-bintang ternama seperti Johan Ghazali (Jojo), Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, mahupun Rifdean Masdor di Bangkok.
“Sebenarnya sasaran kita di sini hanya satu pingat emas, namun atlet muda kita, termasuk yang berusia 16 tahun, telah mempamerkan prestasi membanggakan sekaligus membawa pulang tiga emas. Ini satu pencapaian sangat bagus memandangkan muay thai bukan sukan teras di Malaysia.
“Kejayaan ini membuktikan strategi kita mendedahkan atlet muda untuk menimba pengalaman sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2027 di laman sendiri, berada di landasan tepat,” katanya.