
KUALA LUMPUR: Hasrat Harimau Malaya untuk meratah Singapua dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bukit Jalil malam semalam tidak kesampaian apabila sekadar menang 2-1.
Begitupun, kemenangan ke atas seteru seberang tambak itu menyaksikan Cklamovski melakar kemenangan ketiga daripada empat perlawanan selepas menewaskan Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0 sebelum ini.
Keputusan ini pasti memberi tonik terbaik buat anak buah Cklamovski yang bakal berdepan ujian sukar menentang pasukan di ranking ke-98 dunia, Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Isnin ini.
Pada aksi terbabit, penjaga gol Singapura, Mohamad Izwan Mahbud dipaksa bekerja keras seawal minit kelima apabila menafikan percubaan Arif Aiman Hanapi sebelum menepis rembatan Joao Figueiredo dan bertindak pantas menghalang Stuart Wilkin daripada menyambar bola muntah pada minit kelapan.
Skuad kebangsaan melancarkan satu gerakan menarik menerusi beberapa siri hantaran pendek pada minit ke-17 namun Nazmi Faiz Mansor gagal menyudahkannya dengan kemas selepas rembatannya terlalu kuat melewati palang.
Stadium Nasional Bukit Jalil gamat pada minit ke-25 apabila Wilkin memecah kebuntuan dengan satu rembatan deras menewaskan Izwan selepas menyambut hantaran lambung Endrick dos Santos.
Singapura cuba membalas menerusi percubaan Glenn Kweh Jia Jin pada minit ke-29 tetapi ditepis Haziq Nadzli dan memaksa sepakan sudut diberikan kepada lawan yang dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan negara.
Bersambung babak kedua, Wilkin yang membuka jaringan pertama menjadi arkitek untuk gol kedua Malaysia menerusi gerakan daripada sebelah sayap kanan negara pada minit ke-54.
Gerakan itu bermula daripada hantaran Endrick yang melebarkan bola ke Wilkin sebelum hantaran lintangnya ditampan kemas Figueiredo ke gawang pelawat untuk meletakkan skuad negara berkelebihan dua gol.
Haziq yang jarang diuji pada perlawanan itu akhirnya tewas pada minit ke-71 selepas rembatan kencang pemain gantian, Ilhan Fandi Ahmad dari luar kotak penalti terus menerjah gawang negara membolehkan Singapura mengurangkan defisit kepada satu gol.
Tersentak dengan gol terbabit, skuad negara mengemaskan kembali asakan dan mencipta beberapa peluang untuk mendapatkan gol ketiga namun nasib tampak tidak menyebelahi mereka apabila ia gagal diterjemahkan kepada gol.
Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus memuktamadkan kemenangan buat Malaysia di hadapan 22,329 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan terbabit.