
KUALA LUMPUR: Tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ditegah beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia (Liga M) sepanjang tempoh penggantungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Tiga pemain Harimau Selatan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel bersama empat lagi pemain warisan Malaysia termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca digantung 12 bulan oleh FIFA.
Di samping penggantungan, mereka juga dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) oleh badan induk bola sepak dunia itu selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
“MFL hari ini mengesahkan menerima pemakluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan penggantungan tujuh pemain warisan selama 12 bulan oleh FIFA.
“Berdasarkan keputusan FIFA itu, MFL mengesahkan bahawa tiga pemain daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut terbabit iaitu Figueiredo, Irazabal dan Hevel tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan.
“Tindakan susulan bagi kes ini hanya akan dibuat MFL apabila keputusan rayuan FAM diumumkan oleh FIFA selepas ini,” jelas MFL dalam kenyataannya smalam.