
KUALA LUMPUR: Keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menggantung tujuh pemain yang terbabit dalam skandal pemain warisan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah keterlaluan dan “sangat tidak setimpal.”
Dalam kenyataan pada Isnin, Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional (FIFPro) mengecam hukuman FIFA itu dan menganggap semua pemain berkenaan sebenarnya adalah mangsa kegagalan pentadbiran, bukannya pesalah seperti digambarkan.
Menurut FIFPro, hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bolasepak yang dikenakan ke atas pemain-pemain itu adalah melampau berdasarkan situasi sebenar kes itu.
“Jelas bahawa pemain adalah mangsa dalam isu ini. Keputusan itu sendiri mengesahkan bahawa mereka tidak memalsukan sebarang dokumen bagi mendapatkan kelayakan, malah mengakui bahawa dokumen yang dikemukakan adalah tulen,” menurut kenyataan itu.