
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Rayuan FIFA hari ini enggan melayan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebaliknya mengekalkan hukuman yang dikenakan terhadap persatuan negara dan tujuh pemain yang terbabit dalam isu pemalsuan dokumen kewarganegaraan.
Mengikut kenyataan rasmi FIFA, jawatankuasa itu memaklumkan keputusan rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan pemain-pemain terbabit ditolak selepas sesi pendengaran dijalankan.
Antara hukuman yang dikekalkan ialah denda CHF 350,000 (RM1.9 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Héctor Alejandro Hevel Serrano, masing-masing dikenakan denda CHF 2,000 serta penggantungan 12 bulan daripada sebarang aktiviti bolasepak.
FIFA menyatakan, hukuman itu dibuat selepas siasatan mendapati berlaku pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung kesalahan pemalsuan dan penipuan dokumen.
FAM dan pemain-pemain terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut, dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon salinan keputusan bersebab (motivated decision) selain tempoh 21 hari untuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya ingin membuat rayuan lanjut.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjatuhkan hukuman berkenaan selepas mendapati beberapa pemain ‘warisan’ Malaysia menggunakan dokumen tidak sah dalam proses pendaftaran pada September lalu.
Kes itu turut mencetuskan siasatan dalaman oleh FAM serta perhatian daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), berikutan kesannya terhadap reputasi bolasepak tempatan.