
KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak mungkin mengubah keputusan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) berpandangan bahawa FIFA berkemungkinan besar meringankan hukuman tetapi namun tidak dibatalkan sepenuhnya.
“…Namun saya rasa FIFA tak akan tukar keputusan, mungkin hanya ringankan hukuman tersebut. Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat.
“Walau apa pun keputusan nanti, peguam kami tetap akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Sebab itu FAM masih berjuang hingga ke peringkat ini,” katanya di sidang akhbar hari ini.
TMJ turut menjelaskan bahawa kesilapan teknikal ketika proses penghantaran dokumen mungkin menjadi punca utama isu ini timbul, namun menegaskan perkara itu membabitan aspek integriti dan legitimasi yang tidak boleh dipersoalkan dari sudut perlembagaan.
“Kesilapan teknikal itu berlaku ketika dokumen dihantar… mungkin sebab itu Setiausaha Agung digantung. Bila sampai soal integriti, kita tak boleh persoalkan kerana dari segi perlembagaan pemain ini sah dari segi undang-undang.
“Pemain tidak tahu apa-apa. Mereka tidak patut terlibat atau digantung tetapi undang-undang tetap undang-undang. Kita perlu hormati proses yang sedang berjalan,” katanya.
Menurut TMJ, pihaknya akan terus memperjuangkan keadilan buat FAM dan pemain melalui saluran yang sah.
Kita akan tetap lakukan rayuan berdasarkan dokumen dan bukti yang kita ada,” katanya.
Dalam pada itu, TMJ mendedahkan lebih 20 pemain yang didakwa memiliki darah campuran pernah dikemukakan bagi mendapat kerakyatan untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Bagaimanapun, katanya, hanya tujuh pemain yang mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan untuk diberikan status kerakyatan, sekali gus dapat menyarung jersi skuad kebangsaan.