
KUALA LUMPUR: Penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain Harimau Malaya sudahpun ditangguhkan berkuatkuasa serta-merta.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan perkara itu selepas FIFA mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Timbang Tara (CAS) yang menangguhkan penggantungan terhadap tujuh pemain terbabit.
Perkembangan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang turut berkongsi lampiran surat daripada FIFA dalam satu kenyataan rasmi.
Lampiran surat daripada FIFA itu ditandatangani oleh Ketua Disiplin FIFA, Americo Espallargas.
“Dilampirkan adalah maklum balas dari FIFA berkenaan keputusan CAS untuk membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (stay of execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.
“FIFA sudah memaklumkan kepada ahli-ahli bersekutu dan konfederasi yang berkenaan untuk menangguh penggantungan terhadap tujuh pemain ini pada peringkat domestik dan benua secara serta-merta,” kata FAM.
Terdahulu, FAM mengesahkan CAS membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan itu.
“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya itu ditangguhkan buat sementara waktu.
“Mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat,” kata FAM.