FIFA hukum FAM, 3 Perlawanan Antarabangsa HM Diisytihar Kalah 3-0

Foto Facebook Malaysia NT

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memuktamadkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
susulan kes menurunkan pemain yang didapati tidak layak dalam beberapa perlawanan antarabangsa Tier 1.

FAM mengesahkan menerima hukuman terbaru itu, yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada 12 Disember lalu, dipengerusikan Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Jorge Palacio.

Hasil siasatan, jawatankuasa itu mendapati FAM melakukan pelanggaran terhadap Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).

Sehubungan itu, FIFA mengisytiharkan Malaysia kalah dengan jaringan 3-0 bagi tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 yang terlibat.

Ia membabitkan aksi menentang Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang sebelum ini berakhir seri 1-1.

Turut terkesan ialah perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang menyaksikan Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-1, selain aksi menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September 2025 yang berakhir dengan kemenangan 1-0.

Selain keputusan kekalahan teknikal tersebut, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).

“FAM akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbang langkah seterusnya berkaitan perkara ini,” menurut kenyataan FAM.

FAM turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti keputusan itu secara menyeluruh sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.