
PETALING JAYA: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan sekretariatnya untuk memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Malaysia dan negara lain agar menjalankan siasatan terhadap dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain waris.
Langkah itu diambil selepas FIFA mengekalkan hukuman terhadap FAM dan pemain-pemain berkeaan atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan.
Kes ini melibatkan dokumen yang didakwa dipalsukan bagi mendaftarkan pemain sebagai layak mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
FIFA menegaskan bahawa pemalsuan dokumen rasmi adalah kesalahan jenayah di banyak negara dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan tindakan diambil.
Tindakan tatatertib ini berpotensi menjejaskan kempen kelayakan Piala Asia 2027 Malaysia, termasuk kemungkinan pemotongan mata.