FAM tunjuk bukti surat rasmi FIFA

Foto fail

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melampirkan surat rasmi daripada FIFA yang menggesa persatuan atau badan induk yang terlibat untuk segera mematuhi keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) itu.

Dalam satu hantaran, FAM menunjukkan bukti bahawa FIFA memaklumkan Ahli Bersekutu yang terlibat berkenaan kebenaran sementara bagi tujuh pemain warisan Harimau Malaya untuk kembali bermain bolasepak.

Persatuan Bolasepak Argentina, Federasi Bolasepak Columbia, Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol, Persatuan Bolasepak Diraja Belanda, termasuk Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) wajib cakna dengan arahan yang dikemukakan.

“Mereka perlu segera menarik balik penggantungan yang dikenakan di peringkat domestik dan benua,” menurut kenyataan FAM.

Perkembangan ini bermakna semua tujuh pemain warisan itu dibenarkan untuk beraksi dalam saingan liga domestik, pertandingan peringkat benua serta menyertai sebarang aktiviti bolasepak yang berkaitan tanpa sebarang sekatan.

Namun, penghakiman penuh bakal diketahui nanti.