FAM Salahkan Kakitangan Laku Kesilapan Teknikal

Foto Hiasan

KUALA UMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyalahkan kakitangan pentadbirannya yang melakukan kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen.

Kesilapaan teknikal itu menyebabkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman terhadap tujuh pemain warisan negara dan mendenda FAM.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

Azman berkata, badan induk bola sepak negara itu sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.

“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran,” katanya.

Katanya, semua tujuh pemain warisan terdiri daripada Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel adalah sah rakyat Malaysia.

“FAM mengambil serius perkara ini. Bagaimanapun FAM ingin menegaskan bahawa pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah,” katanya.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain itu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.