FAM ‘Sakit’ — AFC Dedah Kelemahan Sistemik Organisasi

Foto Bernama

PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mendedahkan hakikat pahit yang selama ini mungkin dirasai ramai pihak, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebenarnya ‘sakit’, dan penyakitnya bukan datang dari satu sudut sahaja, sebaliknya meresap ke hampir seluruh tubuh organisasi. Dapatan mengejutkan itu dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany kepada perwakilan dalam Kongres Luar Biasa FAM yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Penilaian Tahap Kematangan Keupayaan (CMA) yang dijalankan AFC mendapati kebanyakan jabatan dalam FAM hanya berada pada tahap 2 atau pra pertengahan, dengan markah antara 1.2 hingga 1.8 daripada skala lima tahap kematangan organisasi. Bahagian yang dinilai merangkumi tadbir urus dan perundangan, pentadbiran dan logistik, kewangan dan pengurusan risiko, infrastruktur dan fasiliti serta pertandingan, kelab dan pengurusan acara. Satu-satunya cahaya dalam laporan suram itu ialah bahagian komunikasi dan media yang mencapai tahap 3 dengan skor 2.0, satu-satunya unit yang melepasi kelompok skor jabatan lain.

AFC turut mendapati struktur tadbir urus yang diwujudkan dalam organisasi tidak diluluskan atau dikuatkuasakan secara rasmi oleh jawatankuasa eksekutif. Lebih membimbangkan, kuasa membuat keputusan dilihat terlalu tertumpu kepada individu tertentu sehingga mengetepikan mandat formal serta saluran pelaporan yang sepatutnya diamalkan dalam sesebuah organisasi profesional.

Kelemahan kritikal turut dikesan apabila beberapa fungsi utama FAM didapati terlalu bergantung kepada individu dan bukan sistem yang tersusun, sekali gus mewujudkan risiko besar kepada kesinambungan operasi. Situasi ini amat berbahaya kerana apabila individu berkenaan meninggalkan organisasi, pengetahuan institusi turut hilang bersama mereka tanpa sebarang sistem dokumentasi yang kukuh.

Kebanyakan jabatan turut didapati tidak mempunyai pelan perniagaan tahunan, kalendar aktiviti serta laporan prestasi yang lengkap, manakala polisi tertentu masih belum diluluskan secara rasmi. Ketiadaan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas serta budaya organisasi yang menyebabkan kakitangan kurang berani melaporkan masalah turut disenaraikan sebagai antara punca utama yang membelenggu kemajuan FAM selama ini.

AFC menegaskan masalah yang membelenggu FAM bersifat sistemik dan bukan berpunca daripada satu jabatan tertentu. Pendedahan terbuka ini dilihat sebagai langkah berani ke arah pembaharuan menyeluruh, namun persoalan terbesar kini ialah adakah FAM benar-benar bersedia untuk berubah demi masa depan bola sepak negara?