
KELANA JAYA: Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman digantung tugas, jawatankuasa bebas ditubuh bagi menyiasat kesilapan teknikal di peringkat pentadbiran. Perkembangan itu disahkan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram dalam sidang akhbar khas di Wisma FAM hari ini.
Menurutnya, ia bagi mengelakkan isu sama berulang dan selari dengan piawaian tertinggi bola sepak antarabangsa.
“Siasatan lanjut dijalankan untuk membolehkan jawatankuasa bebas menjalankan penilaian secara telus. Kami tidak mahu campur tangan kerana kami mahukan siasatan yang telus. Setiausaha Agung sebagai ketua sekretriat mengambil tanggungjawab atas perkara ini.
“Jadi untuk membolehkan jawatankuasa bebas melakukan siasatan, beliau akan digantung buat untuk sementara waktu. Kita akan serahkan segalanya kepada jawatankuasa bebas dan selepas itu keputusan akan dikeluarkan,” katanya.
Sebelum ini, badan induk itu mengesahkan pihaknya sudah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.
Noor Azman dalam satu kenyataan menegaskan tujuh pemain berdarah warisan yang dikaitkan dengan pemalsuan dokumen itu adalah rakyat Malaysia yang sah.
Sebelum ini, FIFA mendedahkan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel selepas mendapati wujud ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran pemain.