FAM Didenda AFC Lebih RM50,000

Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) AS$12,500 (kira-kira RM50,962) atas dua kesalahan yang dilakukan ketika aksi kelayakan Piala Asia menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.

Mengikut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, Isnin lalu, hukuman pertama dikenakan FAM selepas wakil badan induk itu didapati menyebabkan kelewatan permulaan separuh masa pertama perlawanan selama satu minit dan 20 saat serta kelewatan permulaan separuh masa kedua selama satu minit dan 30 saat.

Susulan daripada kesalahan itu, FAM diarahkan membayar denda RM10,192 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.

Bagi kes kedua, FAM didapati gagal memastikan tonggak Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim yang dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan menghadiri sidang media selepas perlawanan.

Kesalahan itu menyaksikan FAM diarahkan membayar denda RM40,770 kerana melanggar Artikel 4.3.8 (dibaca bersama Artikel 31.3) Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027.

Menurut AFC, semua denda dikenakan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.