FAM dakwa terkejut dengan keputusan FIFA

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Peguam dan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mendakwa terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata badan induk itu akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan itu sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Jawatankuasa Rayuan FIFA dalam kenyataan, malam tadi memaklumkan rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung hukuman yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini ditolak.

“FAM sudah menerima keputusan rayuan daripada FIFA, di mana rayuan kami ditolak,” kata Mohd Yusoff.

“Ini kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan itu,” katanya..

Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA itu sekali gus menyaksikan hukuman denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM sebelum ini kekal.

Pemain terbabit iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano pula digantung 12 bulan selain masing-masing diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) kepada FIFA.