
KUALA LUMPUR: Harimau Malaya hilang khidmat Arif Aiman akibat cedera pada minit kesembilan tetapi tugas itu digalas dengan cemerlang oleh Faisal Halim untuk membantu Harimau Malaya menewaskan Nepal1-0 malam tadi.
Kemenangan itu melunaskan impian jurulatih Peter Cklamovski untuk menutup tahun 2025 dengan rekod tanpa kalah.
Perlawanan malam tadi adalah aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Skuad negara berdepan detik malang di awal perlawanan apabila kehilangan khidmat bintang sensasi, Arif Aiman yang terpaksa digantikan dengan Faisal Halim.
Ketiadaan Arif Aiman dilihat memberi kesan buat jentera serangan Harimau Malaya dengan anak buah Cklamovski bergelut untuk mencari gol pembukaan akibat pemain Nepala berkampung di depan pintu gol mereka.
Percubaan tepat pertama Harimau Malaya hadir menerusi rembatan Safawi Rasid pada minit ke-21 yang berjaya diselamatkan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu.
Asakan bertali arus daripada skuad negara selepas itu juga tidak membuahkan hasil termasuk percubaan La’vere Corbin Ong pada minit ke-34 yang tidak menepati sasaran dan disusuli tandukan Dion Cools, tiga minit kemudian diselamatkan Limbu.
Stadium Nasional akhirnya bergema dengan sorakan penonton pada minit ke-55 apabila Faisal berjaya menyudahkan hantaran menarik daripasa Safawi untuk meletakkan Harimau Malaya di depan.