Faisal Halim Bantu Selangor Benam Kelab Vietnam

Foto Selangor FC

KUALA LUMPUR: Dua gol jaringan Faisal Halim pada babak kedua berjaya membantu Selangor menewaskan kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC 2-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ia adalah kemenangan kelima berturut-turut direkodkan Selangor di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon termasuk dua aksi Liga Super dan dua dalam saingan Piala Malaysia sebelum ini.

Anak buah Pan-gon bekerja keras sejak awal permainan dengan banyak melakukan asakan ke kubu lawan, namun beberapa percubaan mereka gagal membuahkan hasil termasuk rembatan Chrigor Moraes dan Alvin Fortes pada minit ke-34 dan 41.

Cong An Hanoi turut mendapat peluang pada penghujung babak pertama, bagaimanapun rembatan leret penyerang mereka, Rogerio Alves berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-60, Stadium MBPJ akhirnya bergema dengan sorakan penonton apabila Faisal bijak melakukan tindakan susulan selepas rembatan Fortes ditepis penjaga gol Cong An Hanoi, Nguyen Filip untuk meletakkan Gergasi Merah di depan.

Sembilan minit kemudian, kapten Selangor itu sekali lagi menceriakan seluruh penyokong Gergasi Merah apabila rembatannya dari luar kotak berjaya menewaskan Filip buat kali kedua.